Tuesday, June 19, 2007

from fathil.mohamed@anixter.com

VERY TOUCHING STORY
>---------------------------------
>
>Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat
>Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam
>senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.
>
>"Tapi pak cik kena bayar segera bahagian makcik yang masih tak cukup tiga
>ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,"beritahu
>pegawai itu lagi.
>
>"Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei.
>Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.
>
>Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.
>
>"Pah... oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.
>
>"Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.
>
>"Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan
>tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana.Tak sabar betul
>saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai, " cerita Pak Uwei dengan
>wajah berseri-seri.
>
>"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak
>dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."
>
>"Betullah Pah oii... saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma
>duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat- lewatnya
>minggu depan."
>
>"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun
>lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu."
>Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.
>
>"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka
>tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei
>semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan
>menghampakan harapannya.
>
>"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita
>berunding," cadang Pak Uwei.
>
>"Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok
>kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti
>nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan
>rancangan Pak Uwei.
>
>"Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka,
>hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh
>lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak
>bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali
>ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada
>anaknya.
>
>"Tapi bang?... "
>
>"Dahlah... pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala.
>Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah
>melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia
>akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia
>hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.
>
>"Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm... abah nak Kis suruh Intan balik
>sama?" tanya Balkis.
>
>"Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke
>tidak ke, sama aje. Balik ya?... ," balas Pak Uwei.
>
>Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas
>bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata
>anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram. Sudahlah malas belajar tidak
>seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur
>sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah. Masih Pak Uwei ingat
>gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar
>besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.
>
>"Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung
>belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak
>bekerja kilang.
>
>"Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang.
>Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.
>
>"Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok
>berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari
>mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"
>
>"Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang
>duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok
>pangkalnya, hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah." Intan
>cuba membuat abahnya faham.
>
>"Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau
>tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!"
>
>"Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang,
>kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas
>Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya.
>
>"Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi...
>aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?, telangkup ke?, gasak
>kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!!"
>
>Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang
>Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia
>bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu
>menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja.
>
>Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula
>dia sudah rindu dengan cucucucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam
>dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu.
>
>"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit," Pak Uwei
>memulakan bicara.
>
>"Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.
>
>"Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan
>bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu
>sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan
>hasratnya.
>
>"Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje
>keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi
>bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz.
>
>"Tapi... pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-
>lewatnya minggu depan."
>
>"Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak
>pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan
>budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah.
>
>"Kau beli rumah lagi??, Rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya PakUwei
>melindungi kekecewaannya.
>
>"Rumah baru tu besar sikit, abah. Selesalah buat kami sebab budak- budak tu
>pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi
>abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz.
>
>Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. "Kamu macam mana Kis,
>boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki
>durian berbuah kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling pada Balkis.
>
>"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit
>simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham
>ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi."
>
>Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.
>
>"Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh.
>Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman."
>
>"Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri
>baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang
>menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei
>terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan
>menghampakannya.
>
>"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang
>dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba
>meredakan keadaan.
>
>"Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah!. Tak payah saya tunggu
>lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi... dah tak
>ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik
>meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. Intan tahu abahnya benar-benar
>kecewa. Walaupun orang tua itu tidak
>menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat
>kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan
>mengecewakannya begitu.
>
>"Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak
>turut serta balik bersama abang dan kakaknya.
>
>"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai
>kain selendangnya.
>
>"Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat MakPah bersiap-siap.
>
>"Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi
>kegemarannya. " Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan
>sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.
>
>Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.
>
>"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"
>
>"Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye."
>
>"Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah.
>
>"Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah
>tu. Intan pergi dulu."sambil mencium tangan Mak Pah yang menggeleng kepala
>memerhatikan Intan berlalu pergi.
>
>Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat
>anaknya itu menyisihkan diri.
>
>Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang
>menikmati juadah tengah hari.
>
>"Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni
>abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."
>
>"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh
>mencapai pinggan.
>
>"Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang
>lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai
>mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia
>mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang
>membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.
>
>"Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni... ," ujar Intan menghampiri
>mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian
>menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.
>
>"Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan
>meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya.
>
>Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak
>sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.
>"Abah ni... ke situ pulak...."
>
>"Habis tu?"
>
>"Ini... Buku Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni,
>resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua
>ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat
>kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti." Intan memasukkan duit itu
>dalam genggaman Pak Uwei.
>
>"Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya
>bagai tidak percaya.
>
>"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh
>Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan
>abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan
>selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan
>baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah
>selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat
>abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak
>Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang
>sesuai. Intan harap, abah sudi terima pemberian yang tak seberapa ini dari
>Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya
>yang sudah berkedut dimamah usia.
>
>"Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah
>selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi
>akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei
>sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini
>dimusuhinya.
>
>"Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan
>gembira abah sudi terima pemberian Intan."
>
>"Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan... ,"ujar
>Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.
>
>"Hah... tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni," Mak Pah
>mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.
>
>"Mak ni... ," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.
>
>Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang
>menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira
>bercampur hiba.
>
>"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya
>memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
>
>"Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana
>nanti?"
>
>"Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang
>penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."
>
>"Hah, awak dengar tu... kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak
>membeli-belah, " tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak
>itu.
>
>"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana . Hanya satu
>yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan
>sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak
>dengan permintaan Intan itu.
>
>????????????????????????????????????
>
>Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei
>mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah
>menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap
>di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap
>tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah
>suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan
>pergi jauh.
>
>"Kenapa resah aje ni, bang?" Mak Pah terjaga.
>
>"Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."
>
>"Sabarlah, dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah.
>
>Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
>
>"Mak... abah... ," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya
>tanpa dapat menahan airmata menitis laju.
>
>"Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari
>wajah Intan.
>
>"Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium
>tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" Tanya Pak Uwei terasa
>hampa.
>
>"Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng,
>dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan
>tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei.
>Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak
>kena.
>
>"Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil
>nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak
>Pah pada Muaz dan Azman. Muaz diam sambil mengerling Azman yang sedang
>memandu.
>
>"Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz
>cuba bergurau walaupun terasa sayu.
>
>"Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah
>nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap
>pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?"
>
>"Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak
>Azman menukar tajuk perbualan.
>
>"Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei.
>
>Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru
>memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir
>menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.
>
>"Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa
>mentuanya.
>
>"Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah
>mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.
>
>"Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah.
>
>"Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu
>di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya
>terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain
>batik lepas. Dadanya bergetar.
>
>"Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang
>menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
>
>"Sabar abah... ," Muaz menggosok belakang abahnya.
>
>" Kenapa Az ... kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan
>dan melangkah laju ke bilik Intan.
>
>"Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang
>terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah
>terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya.
>Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.
>
>"Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergipun dalam keadaan
>tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,"
>pujuk Long Semah yang masih belum pulang.
>
>"Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan
>hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala
>salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia
>minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah.
>
>"Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah
>tersedu sedan.
>
>"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak.
>Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum
>mak dan abah balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu
>lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak
>hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia
>ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas.
>Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz.
>
>Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan
>memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu
>bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak
>dan abah belikan satu apa pun dari sana . Hanya satu yang Intan mahu, mak
>dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."
>
>Tamat?...
>
>Moral cerita ...... buat baik dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa
>sementara mereka masih ada di dunia ini. Harta benda hanyalah sementara
>berbanding amalan yg kita lakukan selagi tubuh badan kita bernyawa.
>Renung-renungkan. .?..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home