Wednesday, July 11, 2007

from fathil.mohamed@anixter.com

Jangan bakhil dengan rezeki Allah
<>
DR. ISMAIL YUSOFF.
Firman Allah: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang- orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebiji benih yang mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangkainya mengeluarkan 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah maha luas kurnia-Nya lagi maha mengetahui. (Al-Baqarah: 261)
Insiden banjir luar biasa yang berlaku terutamanya di Johor dan beberapa negeri lain termasuk Sabah sebenarnya turut membuka peluang kepada umat Islam menambah saham akhirat melalui sedekah.
Bagi mengupas kepentingan sedekah, wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HARUN OSMAN menemu bual pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Sunah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ismail Yusoff.
UTUSAN: Apakah pengajaran yang dapat kita ambil daripada peristiwa banjir di beberapa negeri yang menimpa baru-baru ini?
ISMAIL: Allah berfirman: Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (Ar- Rum: 41)
Bagaimanapun, bukanlah tujuan kita mencari silap sesiapa. Namun, yang jelas setiap yang berlaku itu adalah dengan keizinan Allah.
Apa yang penting ialah peristiwa itu perlu dilihat sebagai ujian Allah kepada manusia iaitu mangsa-mangsa banjir. Seperkara lagi yang perlu kita ingat ialah, apabila Allah turunkan musibah ia tidak hanya terkena kepada mereka yang melakukan maksiat atau kerosakan. Sebaliknya, golongan baik-baik seperti ulama, ustaz dan tok guru juga turut terkena.
Kepada para mangsa terlibat, mereka mesti mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan menerima apa yang berlaku sebagai ketentuan Allah. Walaupun kita ditimpa musibah, jangan sekali-kali kita mengeluarkan kata-kata yang membenci atau merendah-rendahkan Allah yang maha kuasa.
Di dalam perjuangan kehidupan, manusia berhadapan dengan keuntungan dan kerugian atau kemuliaan dan kecelakaan. Apabila berhadapan dengan kerugian atau kecelakaan yang merupakan dugaan bagi manusia, hendaklah diterima dan dihadapi dengan penuh kesabaran kerana manusia telah dijanjikan bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.
Apa pula tanggungjawab saudara seagama dalam membantu para mangsa ini?
ISMAIL: Sebagai manusia lebih-lebih lagi saudara seagama, kita hendaklah menghulurkan bantuan kepada mereka. Ini kerana ada di antara mangsa kehilangan bukan sahaja wang dan pakaian tetapi juga rumah mereka turut dihanyutkan dalam banjir tersebut.
Justeru mereka sangat memerlukan bantuan dan pertolongan. Ia tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit tetapi pelbagai aspek termasuk kepakaran membina penempatan sementara untuk mangsa yang terlibat.
Menghulurkan bantuan ini turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabda baginda: Sesiapa yang mempunyai kenderaan yang melebihi dari keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya baginda menyebut bermacam-macam lagi harta benda yang baginda teringat hingga kami lihat bahawasanya tidak ada seorang pun dari kami yang benar-benar mempunyai kelebihan. (Riwayat Muslim)
Dalam bab bersedekah ini, apakah panduan untuk mengelak daripada berlakunya memberi makanan yang sudah tamat tempoh atau pakaian yang sudah tidak boleh digunakan lagi?
ISMAIL: Islam menggalakkan umatnya supaya memberi pertolongan dan bantuan kepada orang-orang yang susah dan orang-orang yang memerlukan bantuan sama ada dari segi harta benda, kewangan dan sebagainya.
Ia dapat mengelakkan kita daripada mementingkan diri sendiri sebaliknya mengeratkan persaudaraan di dalam Islam.
Kita juga digalakkan memberi sumbangan atau derma barang yang kita sayang. Janganlah pula sementelahan hendak bersedekah, kita bagi makanan yang sudah tamat tempoh atau yang sudah basi. Atau menderma pakaian yang memang sudah tidak boleh dipakai lagi.
Galakan menderma pakaian ini adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah, apabila seseorang itu menukar pakaian baru, adalah baik jika dihadiahkan yang lama itu kepada orang lain. (Riwayat Tirmidzi).
Hadis itu adalah dalam keadaan biasa di mana manusia tidak ditimpa apa-apa musibah. Namun, dalam keadaan sekarang, ia sangat relevan kerana mangsa-mangsa banjir ini amat memerlukan bantuan pakaian dan lain-lain barang keperluan. Oleh itu, jangan kita lepaskan peluang untuk menambah pahala.
Apakah kesan kepada golongan yang ditimpa musibah atau ujian Allah apabila menerima bantuan orang lain?
ISMAIL: Dalam keadaan biasa, kita tidak akan berasa betapa nikmat atau perlunya kepada bantuan orang lain. Analoginya, apabila kita sudah kenyang, walaupun kawan kita belanja makan tetapi nikmatnya tidak seberapa. Sedekah kita habis setakat itu sahaja.
Namun, jika kita bandingkan mangsa banjir yang berada dalam kesusahan sekarang. Apabila kita dalam keadaan lapar lalu diberi makanan oleh orang, sudah tentu kita berasa amat bersyukur dan gembira. Perasaan itu amat tebal. Kita akan diingati atas pertolongan atau sumbangan yang sedikit itu.
Begitu juga kepada mereka yang tidak mempunyai pakaian. Apabila menerima bantuan atau sedekah pakaian mereka amat menghargainya kerana ia menjadi barang yang sangat diperlukan.
Saya ingin mengimbas kenangan di India sudah masa dahulu. Apabila musim sejuk, pakaian menjadi amat berharga terutama kepada mereka yang tidak mempunyai rumah. Mereka ini tinggal di kaki-kaki lima.
Bukan sahaja mereka amat berterima kasih apabila menerima sumbangan pakaian malah jika menemui guni pun ia akan dijadikan baju untuk menahan sejuk.
Di negara kita, alhamdulillah, rata-rata kita mewah dalam pakaian. Oleh itu, eloklah kita menderma atau manfaatkan mana-mana yang tidak kita gunakan lagi daripada ia terus disimpan di dalam almari.
Setiap yang berlaku itu mengandungi hikmah. Apa pula hikmah banjir ini?
ISMAIL: Pertamanya, kita dapat melihat kesepaduan masyarakat Malaysia dalam membantu mangsa banjir. Tidak kira bangsa atau agama, semuanya berganding bahu membantu.
Golongan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga tidak ketinggalan membantu dalam bentuk tenaga dan masa.
Senario yang sama dapat kita perhatikan sama ada dalam sektor kerajaan mahu pun sektor korporat. Semuanya menghulur bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir. Ini bertepatan dengan firman Allah yang menyuruh kita bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan jangan membantu kepada perkara yang membawa kerosakan.
Bagi golongan yang tidak terlibat pula, mereka akan bersyukur, insaf, tidak sombong dan tidak pentingkan diri. Jangan kita ingat, kalau berada di tempat yang tinggi kita tidak dilanda musibah. Adakalanya, tempat tinggi juga boleh runtuh.
Bagi mereka yang suka bersedekah, maka ini adalah peluang bagi mereka berbuat demikian. Jangan bakhil atau takut dengan bersedekah harta kita akan berkurang atau boleh menyebabkan kita menjadi miskin.
Islam juga mencela golongan yang bakhil. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya: Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka kebakhilan itu baik bagi mereka. Sesungguhnya, kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di akhirat kelak. (Ali-Imran: 180)
Apakah kelebihan kita bersedekah?
ISMAIL: Banyak kelebihan bersedekah kerana ia adalah antara yang dituntut dalam agama.
Antaranya ia dapat mengeratkan silaturahim sesama Muslim. Terdapat juga tafsiran mengatakan menghubungkan silaturahim itu boleh memanjangkan umur. Ia bukanlah bermaksud umur kita bertambah dengan menghubungkan silaturahim. Maksud di sebaliknya ialah kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu selalu disebut.
Walaupun jika dia telah mati, namun apabila anaknya berjumpa dengan orang yang berkenaan, mereka akan berkata, Arwah bapa kamu dulu selalu datang ziarah atau suka bersedekah.
Bagaimanapun, dalam bersedekah atau apa juga yang kita lakukan, ia perlu dibuat secara sederhana. Apabila berbelanja jangan terlalu boros dan jangan pula terlalu kedekut. Pendek kata, kita perlu bijak berbelanja.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home