Monday, August 07, 2006

from danny zulkarnainmd salleh 31/07/06

Saya akan merumuskan pelbagai contoh kesalahan besar yang sering dilakukan oleh ramai orang, sama ada dalam percakapan atau penulisan. Dengan penjelasan di bawah ini, saya berharap rakan sekerja akan menjadi lebih peka tentang kesalahan-kesalahan tatabahasa Melayu yang kita gunakan setiap hari dan dapat mengelakkan diri daripada terus melakukan kesalahan besar tatabahasa khususnya ketika berkomunikasi.

Oleh kerana - Penggunaan oleh yang diikuti kerana dalam ungkapan oleh kerana adalah salah. Ini disebabkan oleh (kata sendi nama) mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama, sedangkan kerana ialah kata hubung. Bentuk yang betul ialah oleh sebab.
Contoh:
Salah: Oleh kerana itu, dia tidak dapat hadir.
Betul: Oleh sebab itu, dia tidak dapat hadir.

Kata hubung kerana tidak boleh disamakan dengan kata nama sebab.
Contoh:
Salah: Mesyuarat itu ditangguhkan sebab pengerusinya tidak dapat hadir.
Betul: Mesyuarat itu ditangguhkan kerana pengerusinya tidak dapat hadir

Ianya - Ia dan -nya sama maksudnya. Oleh itu, elakkan kesalahan dengan terus menggunakan perkataan ini.
Contoh:
Salah: Ianya merupakan satu kejayaan yang besar pada Malaysia.
Betul: Ia merupakan satu kejayaan yang besar pada Malaysia.

Di mana/
yang mana - Mana adalah dikategorikan sebagai kata tanya iaitu kata yang digunakan untuk menanyakan tempat, orang atau benda. Menterjemah atau menggunakan ungkapan ini bagi ayat bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan of which atau where adalah salah.
Contoh:
Salah: Kuala Lumpur ialah bandar yang menarik di mana/yang mana terdapat pelbagai tumpuan menarik pelancong.
Betul: Kuala Lumpur ialah bandar yang menarik yang terdapat pelbagai tumpuan menarik pelancong.

Mereka - Mereka iaitu kata ganti nama diri ketiga sudah berbentuk jamak (banyak) dan tidak perlu diulang.
Contoh:
Salah: Mereka-mereka yang salah akan dihukum.
Betul: Mereka yang salah akan dihukum.

Di dalam - Penggunaan dalam sebagai kata sendi nama tidak didahului oleh kata sendi nama di.
Contoh:
Salah: Dia mengambil bahagian di dalam pertandingan itu.
Betul: Dia mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Di antara - Penggunaan antara sebagai kata sendi nama tidak didahului oleh kata sendi nama di.
Contoh:
Salah: Perlawanan akhir bola sepak di antara Itali dan Perancis terpaksa ditangguhkan.
Betul: Perlawanan akhir bola sepak antara Itali dan Perancis terpaksa ditangguhkan.

Demi untuk - Demi dan untuk ialah kata sendi nama. Oleh itu, demi tidak boleh digunakan bersama-sama dengan untuk dalam bentuk demi untuk.
Contoh:
Salah: Rakyat perlu bersatu demi untuk kestabilan negara.
Betul: Rakyat perlu bersatu demi/untuk kestabilan negara.

Sejak/
semenjak
dari - Sejak/semenjak membawa maksud bermula dari sesuatu masa atau waktu. Jadi, penggunaan sejak/semenjak bersama-sama dari adalah salah.
Contoh:
Salah: Sejak/semenjak dari hari itu, dia tidak berani menipu lagi.
Betul: Sejak/semenjak hari itu, dia tidak berani menipu lagi.

Apabila/bila - Kata hubung apabila tidak boleh disamakan dengan kata tanya bila.
Contoh:
Salah: Saya akan membantu awak bila tugas saya selesai.
Betul" Saya akan membantu awak apabila tugas saya selesai.

Hanya/sahaja- Penggunaan kata penegas hanya dan sahaja bersama-sama dalam ayat adalah salah. Ini kerana hanya dan sahaja mempunyai maksud yang sama, iaitu "yang satu-satunya".
Contoh:
Salah: Penceramah itu akan berada di Kuala Lumpur hanya seminggu sahaja.
Betul: Penceramah itu akan berada di Kuala Lumpur hanya seminggu.
Betul: Penceramah itu akan berada di Kuala Lumpur seminggu sahaja.

Justeru itu - Ungkapan ini tidak terdapat dalam kamus bahasa Melayu yang diiktiraf. Ungkapan justeru itu sebagai alternatif kepada ungkapan oleh itu, oleh yang demikian dan lain-lain adalah salah sama sekali. Justeru (tanpa itu) digunakan dengan tepat untuk menggambarkan maksud kebetulan, tepat, benar atau malahan dan bahkan.

Memperolehi/
memperbaiki/
mempersetujui/
memperakui/
memperdalami- Bentuk-bentuk yang lazim digunakan dengan apitan mempeR-...i seperti memperolehi, memperbaiki, mempersetujui, memperakui, dan memperdalami adalah salah. Kata-kata dasar tersebut seharusnya menerima awalan meN- atau memperR-, apitan meN-...i atau mempeR...-kan.

Memperolehi (salah) - memperoleh (betul)
Memperbaiki (salah) - membaiki (betul)
Mempersetujui (salah) - menyetujui (betul)
Memperdalami (salah) - mendalami (betul)


Sebenarnya, masih banyak lagi kesalahan besar tatabahasa yang sering kita lakukan setiap hari tanpa disedari. Saya akan cuba menyenaraikan kesilapan-kesilapan lain dari semasa ke semasa dalam siri-siri yang akan datang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home